Sekapur Sirih

 Selamat Datang ke Laman Maklumat

PUSAT SUMBER SEKOLAH
SMK SENAWANG

Pengenalan

Pusat sumber sekolah (PSS) merupakan penjana pembentukan masyarakat yang berilmu pengetahuan, gemar membaca dan berkemahiran maklumat sejajar dengan kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan pendidikan abad ke-21. Perkembangan pesat dunia pendidikan telah memberikan impak yang positif kepada perkembangan pusat sumber sekolah abad ke-21.

Adalah menjadi dasar dan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia untuk meningkatkan mutu pendidikan di negara ini sehingga mencapai pendidikan bertaraf dunia. Sehubungan dengan itu, perjawatan Guru Perpustakaan dan Media (GPM) telah dapat memberi fokus ke arah memantapkan PSS sebagai pusat sumber sekolah bercirikan abad ke-21 di Malaysia. Pelantikan GPM (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/2005 bertarikh 18 Julai 2005 – Penyelarasan Waktu Mengajar bagi Guru Penyelaras Bestari serta Guru Perpustakaan dan Media) merupakan satu usaha kementerian untuk memantapkan pengurusan PSS. 

Penerapan dan pembudayaan teknologi pendidikan merupakan elemen penting dalam memartabatkan PSS sebagai nadi utama P&P dan pusat kecemerlangan. GPM perlu jelas tentang bidang tugasnya serta fungsi PSS yang mempunyai hubungan langsung dengan pelaksanaan program kurikulum, ko-kurikulum dan hal ehwal murid di peringkat sekolah.

Terdapat empat bahagian utama dalam pengurusan PSS iaitu:
i. Bidang A : Pengurusan dan Pentadbiran
ii. Bidang B : Organisasi Bahan
iii. Bidang C : Galakan Membaca
iv. Bidang D : Literasi Maklumat

Oleh yang demikian, PSS perlu diurus dengan baik dan teratur termasuklah penjadualan dan sistem sirkulasi, peralatan, bahan-bahan P&P serta kemudahan dan perkhidmatan. 


1.0 Pengenalan Pusat Sumber Sekolah Abad Ke-21

Pusat sumber sekolah (PSS) merupakan pusat mengakses maklumat yang mengandungi pelbagai sumber cetak dan bukan cetak, elektronik dan digital yang diurus secara sistematik bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

Dasar pengurusan PSS diwujudkan untuk memastikan PSS mempunyai koleksi yang menepati piawaian, terkini, diurus dengan cekap dan berkesan serta digunakan secara optimum. Pengurusan PSS merangkumi elemen perolehan dan pemprosesan bahan, perkhidmatan, pengesanan dan pendokumentasian sesuai dengan kemajuan teknologi maklumat masa kini. 

PSS diurus melalui pengurusan kualiti secara menyeluruh (Total Quality Management). Pentadbir sekolah dan Guru Perpustakaan dan Media (GPM) perlu bekerjasama dalam memastikan PSS dapat dilaksanakan dengan cekap dan efektif agar sekolah menjadi tempat yang menyeronokkan. Ini dapat menggalakkan pembelajaran kendiri (self-learning) di mana guru dan murid belajar melalui capaian sumber maklumat yang begitu banyak dan pelbagai. Keadaan ini merangsang pembelajaran dan menghasilkan idea-idea yang bernas dan pragmatik.


2.0 Hala Tuju Pusat Sumber Sekolah Abad Ke-21

Pusat sumber sekolah berusaha memenuhi keperluan pendidikan agar mencapai penggunaan PSS secara optimum dalam kalangan murid-murid supaya mereka dapat :
2.1 Mempelajari kepelbagaian sumber dan format maklumat
2.2 Mengakses maklumat secara berkesan dan efisien
2.3 Menggunakan maklumat secara beretika
2.4 Membuat penilaian mengenai kualiti laman-laman web
2.5 Menggunakan teknologi maklumat secara bertanggungjawab
2.6 Mencari, menilai dan memilih bahan yang sesuai